Monday, June 15, 2009

PATAH TULANG

Terapi patah tulang adalah termasuk di bawah urut kemalangan. Urutan patah tulang tradisional Melayu masih mendapat tempat di hati sebahagian masyarakat Melayu bagi mendapatkan bantuan bagi tujuan pemulihan dan rawatan susulan walaupun setelah mendapat rawatan awal secara kaedah moden di klinik atau hospital. Boleh dikatakan bahawa pada kebanyakan kes-kes ini, pesakit telah pulih dan mendapat keputusan positif daripada rawatan yang diterima melalui pengamal urut tradisional ini. Oleh itu, tidak salah jika dikatakan bahawa sepatutnya kaedah alternatif ini sewajarnya mendapat penghargaan dan pengiktirafan rasmi daripada pihak yang berkenaan. Adalah diharapkan detik ini akan menjadi titik permulaan ke arah matlamat tersebut.


Walaupun secara praktikal terapi urut ternyata telah terbukti berkesan untuk menyelesaikan masalah otot dan sendi, tetapi setakat ini masih tiada pihak yang dapat memberi pengiktirafan yang sewajarnya. Bagi pendapat saya, pengamal urut bersedia untuk membuktikan secara saintifik keberkesanan dan keupayaan kaedah urut tradisional bagi mendapatkan pengiktirafan yang diperlukan. Mungkin juga benar ramai antara pengamal urut ini tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang kaedah dan teknik yang sepatutnya diaplikasikan tetapi ini tidak bermakna tiada pengamal yang mampu melakukan terapi urut yang menggunakan kaedah dan teknik betul serta menggabungkan ilmu pengetahuan mengenai sistem anatomi manusia untuk menghasilkan proses pemulihan yang sempurna.


Memandangkan topik yang akan dibincangkan adalah mengenai Patah Tulang maka saya seterusnya akan menerangkan perkara-perkara yang berkaitan dan relevan termasuklah sesetengah amalan yang menimbulkan keraguan. Memandangkan ilmu Patah Tulang Tradisional Melayu banyak melibatkan perkara-perkara mistik dan misteri maka diharap blog saya ini dapat mendedahkan sedikit sebanyak perkara-perkara berkaitan amalan-amalan yang dilakukan semasa pengubatan.


Pengamal yang mempraktik amalan ilmu Patah Tulang adalah individu-individu tertentu yang mempunyai kebolehan untuk membantu menyelesaikan masalah yang timbul daripada patah tulang.

Mereka ini dapat diklasifikasikan secara umum kepada kumpulan berikut :


1. Individu yang terdiri dari pengamal-pengamal seni silat melayu yang terdiri daripada pembantu mahaguru yang kanan. Mereka ini berkemampuan membantu ahli-ahli yang cedera semasa latihan.

2. Pengamal patah tulang biasa secara Islam atau pengamal urut konvensional biasa yang melakukan terapi biasa dengan doa-doa tertentu, Pengamal ini akan melakukan rawatan berdasarkan pengetahuan berkaitan kelancaran peredaran darah dan patah tulang , kaedah merawat kecederaan pada tisu dan tulang.

3. Di samping itu terdapat juga individu tertentu yang memperoleh ilmu tersebut secara turun temurun atau melalui mimpi. Mungkin sesetengah daripada kita tidak mempercayai dan menganggap ini adalah perkara karut,tetapi itulah hakikatnya yang patut kita ketahui walaupun tidak mempercayainya.


Walaupun apa jua kaedah atau ilmu yang diterap oleh pengamal ini, kesan atau hasilnya adalah menakjubkan. Biasanya pesakit akan kurang berasa sakit dan tempoh pemulihannya juga adalah lebih cepat. Keganjilan atau kelainan dalam amalan ilmu-ilmu ini membuatkan sebahagian daripada kita tidak dapat menerima dan mempercayainya.


Perkara ini memang pelik dan tidak dapat diterima akal secara logik, namun jika diperhati dan diamati dengan teliti, terapi yang dilakukan adalah mudah dan tidak mengambil masa yang lama. Kaedah yang biasa dilakukan hanya dengan menarik pangkal paha otot yang terdapat di sendi-sendi dan dituruti dengan menepuk-nepuk bahagian yang terlibat.

No comments:

Post a Comment